Ilmu umrah
Dinukil terus dari kitab
Soalan yang paling kerap jemaah tanya, dijawab terus dari kitab muktabar dan panduan Tabung Haji. Ikut mazhab Syafi'i, dengan pandangan mazhab lain bila berkaitan.
Apa rukun umrah?
Rukun umrah ada lima, seperti yang diajar di Malaysia:
- Niat ihram umrah
- Tawaf
- Saie
- Bergunting atau bercukur
- Tertib pada semua rukun
Lembaga Tabung Haji, Kursus Asas Haji, Siri 8: Ibadat Umrah (Rukun Umrah).
Dalam kitab: an-Nawawi menyenaraikan empat rukun, dan tertib tetap diwajibkan tanpa dikira sebagai rukun berasingan. Isinya sama.
وأركان العمرة أربعة: الإحرام والطواف والسعي والحلق إذا قلنا بالأصح إنه نسك
an-Nawawi, al-Īḍāḥ fī Manāsik al-Ḥajj wa al-ʿUmrah, hlm. 386.
Mazhab lain: rukun umrah di sisi Hanafi ialah tawaf sahaja; di sisi Maliki dan Hanbali tiga (ihram, tawaf, saie). Bagi jumhur selain Syafi'i, bercukur atau bergunting itu wajib, bukan rukun.
az-Zuḥaylī, al-Fiqh al-Islāmī wa Adillatuh, 3/2177.
Apa wajib umrah?
Wajib umrah ada dua:
- Berniat ihram umrah di miqat
- Meninggalkan larangan ihram
Niat ihram itu rukun. Berniat di miqat itu wajib, dan boleh berniat sebelum sampai miqat. Selepas berniat, wajib meninggalkan larangan ihram.
Lembaga Tabung Haji, Kursus Asas Haji, Siri 8: Ibadat Umrah (Rukun dan Wajib Umrah).
Dalam kitab: dalam bab umrah, an-Nawawi menyebut satu wajib iaitu berihram dari miqat. Selain itu sunat.
وواجباتها التقيد بالإحرام من الميقات وسننها ما زاد على ذلك
an-Nawawi, al-Īḍāḥ, hlm. 387.
Apa syarat sah tawaf?
Syarat sah tawaf ada lapan:
- Menutup aurat
- Suci daripada hadas besar dan kecil
- Suci badan, pakaian dan tempat tawaf daripada najis
- Bermula dan berakhir di sudut Hajar Aswad
- Kaabah di sebelah kiri dan berjalan ke hadapan
- Dalam Masjidil Haram dan di luar Kaabah, termasuk di luar Hijir Ismail dan Syazarwan
- Mengekalkan niat tawaf
- Cukup tujuh pusingan dengan yakin
Lembaga Tabung Haji, Kursus Asas Haji, Siri 8: Tawaf (Syarat-syarat Sah Tawaf).
Dalam kitab: an-Nawawi juga mengira lapan, tetapi susunannya lain. Aurat, hadas dan najis beliau himpunkan dalam satu.
الواجب الأول: ستر العورة والطهارة عن الحدث وعن النجاسة
an-Nawawi, al-Īḍāḥ, hlm. 211.
Mula dari Hajar Aswad. Kalau mula di tempat lain, pusingan itu tidak dikira sehingga sampai ke garisan Hajar Aswad. Kata an-Nawawi: "Fahamilah ini, kerana ia antara perkara yang dilalaikan, dan rosak haji ramai orang kerana mengabaikannya."
فافهم هذا فإنه مما يغفل عنه ويفسد بسبب إهماله حج كثير من الناس
an-Nawawi, al-Īḍāḥ, hlm. 224.
Hijir Ismail dan Syazarwan (binaan tapak di kaki dinding Kaabah) termasuk dalam Kaabah. Tawaf di atasnya tidak sah.
فلو طاف على شاذروان البيت أو في الحجر لم يصح طوافه
an-Nawawi, al-Īḍāḥ, hlm. 225–226.
Ragu sudah berapa pusingan semasa tawaf? Ambil bilangan yang paling sedikit dan sempurnakan sampai yakin tujuh. Ragu selepas tawaf selesai, tiada apa-apa.
استكمال سبع طوفات فلو شك لزمه الأخذ بالأقل
an-Nawawi, al-Īḍāḥ, hlm. 223.
Dua lagi dalam senarai an-Nawawi, iaitu berturut-turut antara pusingan dan solat dua rakaat selepas tawaf, beliau sendiri kata pendapat yang lebih sahih: sunat. Sebab itu ia tiada dalam senarai Tabung Haji.
الموالاة بين الطوفات والصلاة بعد الطواف والأصح أنهما سنتان
an-Nawawi, al-Īḍāḥ, hlm. 231.
Apa syarat sah saie?
Syarat sah saie ada enam:
- Dibuat selepas tawaf umrah
- Bermula di Safa dan berakhir di Marwah
- Cukup tujuh kali dengan yakin. Safa ke Marwah dikira sekali, Marwah ke Safa sekali
- Sampai ke hujung kaki bukit Safa dan Marwah setiap kali
- Di kawasan saie yang termaklum (Batnulwadi)
- Mengekalkan niat saie
Lembaga Tabung Haji, Kursus Asas Haji, Siri 8: Sa'ie (Syarat Sah Sa'ie).
Dalam kitab: an-Nawawi menyebut empat wajib saie: habiskan seluruh jarak, mula di Safa, tujuh kali, dan selepas tawaf yang sah. Kalau tertinggal walau sebahagian langkah, saie tidak sah. Beliau memberi amaran: "Ramai orang pulang tanpa haji dan tanpa umrah kerana mencacatkan wajib ini."
أن يقطع جميع المسافة بين الصفا والمروة فلو بقي منها بعض خطوة لم يصح سعيه
an-Nawawi, al-Īḍāḥ, hlm. 256.
فإن كثيرا من الناس يرجع بغير حج ولا عمرة لإخلاله بواجبه
فيجب أن يبدأ بالصفا فإن بدأ بالمروة لم يحسب مروره منها إلى الصفا
an-Nawawi, al-Īḍāḥ, hlm. 257.
Apa syarat bergunting atau bercukur?
Syaratnya tiga:
- Dibuat selepas saie
- Rambut di kepala
- Tidak kurang tiga helai
Yang afdal, lelaki bercukur. Wanita memadai menggunting sekadar seruas jari, walaupun hujung rambut. Tiada rambut? Lalukan pisau cukur di kepala.
Lembaga Tabung Haji, Kursus Asas Haji, Siri 8: Bercukur dan Tertib.
Dalam kitab: kadar paling minimum tiga helai rambut kepala, dicukur atau digunting.
ثم أقل واجب هذا الحلق ثلاث شعرات حلقا أو تقصيرا من شعر الرأس
an-Nawawi, al-Īḍāḥ, hlm. 343.
Perempuan tidak bercukur, tetapi menggunting. Disunatkan sekadar seruas jari dari semua bahagian kepala.
وأما المرأة فلا تحلق بل تقصر ويستحب أن يكون تقصيرها بقدر أنملة من جميع جوانب رأسها
an-Nawawi, al-Īḍāḥ, hlm. 348.
Umrah ada berapa tahallul?
تمت عمرته وحل منها حلا كاملا ولم يبق منها شيء وليس لها إلا تحلل واحد
Selepas tawaf, saie dan bercukur atau bergunting, "sempurnalah umrahnya dan dia halal daripadanya dengan halal yang lengkap. Tidak tinggal apa-apa lagi, dan umrah hanya ada satu tahallul."
an-Nawawi, al-Īḍāḥ, hlm. 386.
Tersilap berniat ihram di hotel di Makkah?
ويلزمه الخروج إلى الحل محرما ثم يدخل فيطوف ويسعى ويحلق وقد تمت عمرته ولا دم عليه
Orang yang sudah berada di Makkah berihram umrah dari Tanah Halal (luar Tanah Haram), seperti Ji'ranah, Tan'im atau Hudaibiyah. Ini juga panduan Tabung Haji (Kursus Asas Haji 1448H, Siri 10). Kalau dia berihram dari dalam Tanah Haram, "wajib dia keluar ke Tanah Halal dalam keadaan berihram, kemudian masuk, bertawaf, bersaie dan bercukur. Sempurnalah umrahnya dan tiada dam ke atasnya." Kalau dia tidak keluar, menurut pendapat yang lebih sahih dia dikenakan dam.
an-Nawawi, al-Īḍāḥ, hlm. 384.
Teks Arab dan muka surat merujuk al-Īḍāḥ (Maktabah Syamilah, kitab 96232) dan al-Fiqh al-Islāmī wa Adillatuh (Maktabah Syamilah, kitab 384). Setiap petikan disemak silang dengan panduan Kursus Asas Haji Lembaga Tabung Haji. Ada soalan tentang keadaan Tuan/Puan sendiri? Ustaz Zul jawab semasa sesi.